image

Mukjizat sebelum menjadi RASUL

Artikel ini adalah untuk bacaan tambahan Muslim dan juga ditujukan kepada orang-orang Kristian yang menuduh bahawa Nabi Muhammad S.a.w TIADA MUKJIZAT dan kelebihan langsung sepertimana Nabi Isa a.s (Yesus).

– Muhammad S.a.w dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata, bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam; “Di antara kemuliaan yang diberikan Allah S.W.T kepadaku adalah, aku dilahirkan dalam keadaan sudah dikhitan, kerana itu tidak ada orang yang melihat aurat/kemaluanku.” (Hadits riwayat al- Thabrani, Abu Nuaym, al Khatib dan ibn Asakir – diriwayatkan dari Ibn Abbas, Ibn Umar, Anas, Abu Hurairah. menurut Diya al Maqdisi, hadits ini shahih. Al Hakim selain menilai shahih, juga mengatakan mutawatir. Lihat al Khasa is al kubra, Jlid.1, hal. 90-91)

– Lahir dengan tali pusat sudah terputus

Dari Ibn Adiy dan Ibn Asakir dari Ibn Abbas, al Diya al Maqdisi dari Abbas Ibn Abdul Muthalib dan Ibn Asakir dari Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W lahir dalam keadaan tali pusat sudah putus. (Hadist ini tidak sekuat hadits yang menceritakan tentang nabi lahir dalam keadaan sudah dikhitan)

– Pada usia 5 bulan dia sudah pandai berjalan, usia 9 bulan dia sudah mampu berbicara dan pada usia 2 tahun dia sudah boleh dilepaskan bersama anak-anak Halimah yang lain untuk menggembala kambing.

– Halimah binti Abi-Dhua’ib, ibu susu Muhammad dapat menyusui kembali setelah sebelumnya dia dinyatakan telah kering susunya. Halimah dan suaminya pada awalnya menolak Muhammad kerana yatim. Namun, kerana alasan dia tidak ingin dicemuh oleh Bani Sa’d, dia menerima Muhammad. Selama dengan Halimah, Muhammad hidup secara nomad bersama Bani Sa’d di gurun Arab selama empat tahun.

– Abdul Muthalib, datuk kepada Muhammad menceritakan bahawa berhala yang ada di Ka’bah tiba-tiba terjatuh dalam keadaan bersujud ketika kelahiran Muhammad. Dia juga menceritakan bahawa dia mendengar dinding Ka’bah berbicara, “Nabi yang dipilih telah lahir, yang akan menghancurkan orang-orang kafir, dan membersihkan dariku dari beberapa patung berhala ini, kemudian memerintahkan untuknya kepada Zat Yang Merajai Seluruh Alam Ini.”

– Dikisahkan ketika Muhammad berusia empat tahun, dia pernah dibedah perutnya oleh dua orang berbaju putih yang terakhir diketahui sebagai malaikat. Peristiwa itu terjadi ketika Muhammad sedang bermain dengan anak-anak Bani Sa’d dari suku Badwi. Setelah kejadian itu, Muhammad dikembalikan oleh Halimah kepada Aminah. Sirah Nabawiyyah, memberikan gambaran lengkap bahawa kedua orang itu, “membelah dadanya, mengambil jantungnya, dan membukanya untuk mengeluarkan darah kotor darinya. Lalu mereka mencuci jantung dan dadanya dengan salju.” Peristiwa seperti itu juga berulang 50 tahun kemudian sewaktu Nabi Muhammad diisra’kan dari Mekah ke Jerusalem lalu dimikrajkan ke Sidratul Muntaha.

– Dikisahkan pula pada masa kecil Muhammad, dia telah dibimbing oleh Allah. Ianya mulai nampak setelah ibu dan datuknya meninggal. Dikisahkan bahawa Muhammad pernah diajak untuk menghadiri pesta dalam tradisi Jahiliyah, namun dalam perjalanan ke pesta dia merasa mengantuk yang teramat dan tidur di jalan sehingga dia tidak mengikuti pesta tersebut, kerana dia dipelihara oleh Allah dari berpesta mengikut umat jahiliyyah.

– Pendeta Bahira menceritakan bahawa dia melihat tanda-tanda kenabian pada diri Muhammad. Muhammad ketika itu berusia 12 tahun sedang beristirehat di wilayah Bushra dari perjalanannya untuk berdagang bersama Abu Thalib ke Syria. Pendeta Bahira menceritakan bahawa kedatangan Muhammad ketika itu diiringi dengan gumpalan awan yang menutupinya dari cahaya matahari. Dia juga sempat berdialog dengan Muhammad dan menyaksikan adanya sebuah Khatamun Nubuwah / ‘cop kenabian’ (tanda kenabian) di kulit lambungnya.

– Mukjizat lain adalah Muhammad pernah memendekkan perjalanan. Kisah ini terjadi ketika pulang dari Syria. Muhammad diperintahkan Maisarah membawakan suratnya kepada Khadijah ketika perjalanan masih 7 hari dari Mekah. Namun, Muhammad sudah sampai di rumah Khadijah tidak sampai satu hari. Dalam kitab as-Sab’iyyatun fi Mawadhil Bariyyat, Allah memerintahkan pada malaikat Jibril, Mikail, dan awan untuk membantu Muhammad. Jibril diperintahkan untuk melipat tanah yang dilalui unta Muhammad dan menjaga sisi kanannya sedangkan Mikail diperintahkan menjaga di sisi kirinya dan awan diperintahkan menaungi Muhammad.

Peristiwa-peristiwa di dalam Ghuzwah

– Air keluar dari jari-jemari Rasulullah S.a.w.

Dari Tsabit r.a bahawa Rasulullah S.a.w berdoa untuk mendapatkan air. Lalu baginda datang dengan membawa sebuah bejana yang cukup besar yang di dalamnya ada sedikit air. Baginda S.a.w meletakkan jari-jari tangannya di dalam bejana itu. Ku lihat air memancar dari sela-sela jarinya. Semua orang mengambil wudhu’ dari air itu padahal aku memperkirakan mereka yang wudhu’ ada seramai tujuh puluh hingga ke lapan puluh orang. Riwayat Bukhari dan Muslim
Dan banyak lagi hadith-hadith berkenaan air keluar dari jari-jemari Rasulullah …….

– Perigi yang kering kembali berair.

Muslim meriwayatkan dari Salamah bin Al Aqwa ia berkata , “Kami yang berjumlah seribu empat ratus orang tiba di Hudaibiyyah bersama nabi S.a.w. Kami semua dan empat puluh ekor kambing yang dibawa tidak mendapatkan air. Selanjutnya nabi S.a.w berjongkok di bibir sebuah perigi (yang kering). Entah baginda berdoa atau meludah ke sana, namun yang jelas tiba-tiba memancar air yang sangat deras. Akhirnya kami dapat minum sepuas-puasnya, begitu pula dengan kambing-kambing kami”.

– Turunnya hujan dengan serta-merta selepas Rasulullah S.a.w berdoa

Abu Nu’aim meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa ada sekelompok orang datang kepada Rasulullah S.a.w. Mereka memohon agar beliau berdoa kepada Allah S.w.t supaya menurunkan hujan kepada mereka. Maka beliau bersabda, “Ya Allah, siramilah kami dengan air hujan yang merata, menyenangkan, dapat menyuburkan tanah , yang melimpah, mencukupi, bermanfaat dan tidak menimbulkan bahaya, segera turun dan tidak terlambat”.
Maka hujan turun kepada mereka selama tujuh hari berturut-turut.

– Pokok sujud dan bersaksi di atas kerasulan Muhammad S.a.w

Ianya diriwayatkan oleh Ad Darimy, Abu Ya’la, At Thabrani, Al Bazzar, Ibnu Hibban Al Baihaqi dan Abu Nu’aim …….

– Pokok memberi salam kepada Rasulullah S.a.w
Ianya diriwayatkan oleh Ahmad, At Thabrani, Al Baihaqi …..

Binatang, tumbuhan, alam dan benda mati
– Seekor serigala berbicara kepada Muhammad.

– Berbicara dengan unta yang lari dari pemiliknya yang menyebabkan masyarakatnya meninggalkan solat Isya’.

– Berbicara dengan unta pembawa hadiah raja Habib bin Malik untuk membuktikan bahawa hadiah tersebut bukan untuk Abu Jahal melainkan untuk Muhammad.

– Mengusap kantung susu seekor kambing untuk mengeluarkan susunya yang telah habis.

– Dua Sahabat Nabi S.a.w dibimbing oleh cahaya di waktu malam yang gelap gelita.

– Mimbar menangis setelah mendengar bacaan ayat-ayat Allah.

– Pohon kurma dapat berbuah dengan seketika.

– Batang pohon kurma meratap kepada Muhammad.

– Berhala-berhala runtuh dengan hanya ditunjuk oleh Muhammad.

– Berbicara dengan gunung untuk mengeluarkan air bagi Uqa’il bin Abi Thalib yang kehausan.

– Berbicara dengan batu gilingan tepung Fatimah yang takut dijadikan batu-batu neraka.

– Mengubah emas hadiah raja Habib bin Malik menjadi pasir di gunung Abi Qubaisy.

– Memerintahkan gilingan tepung untuk berputar dengan sendirinya.

– Tubuh Muhammad memancarkan petir ketika hendak di bunuh oleh Syaibah bin ‘Utsman pada Perang Hunain.

Ghaib dan menidurkan musuh

– Menghilang / ghaib ketika akan dibunuh oleh utusan Amr bin at-Thufail dan Ibad bin Qays utusan dari Bani Amr pada tahun 9 Hijriah atau Tahun Utusan

– Menghilang ketika akan dilempari batu oleh Ummu Jamil, ketika dia duduk di sekitar Ka’bah dengan Abu Bakar.

– Menghilang ketika akan dibunuh oleh Abu Jahal dimana ketika itu dia sedang solat.

– Menidurkan 10 pemuda Mekah yang merancang untuk membunuhnya dengan taburan pasir.

Hal ghaib dan ramalan

– Mengetahui siksa kubur dua orang dalam makam yang dilewatinya kerana dua orang tersebut selalu shalat dalam keadaan kotor kerana kencingnya selalu mengenai pakaian solat.

– Mengetahui ada seorang Yahudi yang sedang disiksa dalam kuburnya.

– Meramalkan seorang isterinya ada yang akan menunggangi unta merah, dan di sekitarnya ada banyak anjing yang menggonggong dan orang tewas. Hal itu terbukti pada Aisyah pada ketika Perang Jamal di wilayah Hawwab yang mengalami kejadian yang diramalkan Muhammad.

– Meramalkan isterinya yang paling rajin bersedekah akan meninggal tidak lama setelahnya dan terbukti dengan meninggalnya Zainab yang dikenal rajin bersedekah tidak lama setelah kematian Muhammad.

– Meramalkan Abdullah bin Abbas akan menjadi “bapa para khalifah” yang terbukti pada keturunan Abdullah bin Abbas yang menjadi raja-raja kekhalifahan Abbasiyah selama 500 tahun.

– Meramalkan umatnya akan terpecah belah menjadi 73 golongan.

– Meramalkan Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan, dan ramalan-ramalan seperti di bawah

– Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

– Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang

– Umat Islam Mengikuti Langkah-Langkah Yahudi dan Nasrani

– Akan wujudnya Golongan Anti Hadith dari kalangan umat Islam sendiri

– Islam Kembali asing sebagaimana datangnya dulu

– Memperingatkan tentang Bahaya Kemewahan

– Umat Islam Memusnahkan Orang-orang Yahudi

– Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit

– Orang Yang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah Banyak

– Zaman Dimana Orang Tak Pedulikan Dari Mana Mendapat kan Harta

– Harta Riba Wujud Di Merata Tempat

– Orang Meminum Khamar dan Menamakannya Bukan Khamar. Terbukti sekarang ramai yang menghisap DADAH, PIL-PIL KHAYAL dan seumpamanya.

– Sedikit Lelaki dan Banyak Perempuan

– Hamba Menjadi Tuan dan Terbinanya Banyak Bangunan Yang Mencakar Langit

– Ahli Ibadat Yang Jahil dan Ulama Yang Fasiq

– Orang Yang Berpegang Dengan Agamanya Seperti Memegang Bara Api

– Golongan Ruwaibidhah

– Peperangan Demi Peperangan

– Masa Akan Menjadi Singkat

– Munculnya Galian-galian Bumi

– Tanah Arab Yang Tandus Menjadi Lembah Yang Subur

– Ujian Dahsyat Terhadap Iman

– Peperangan Di Kawasan Sungai Furat (Iraq) Kerana Merebut Kekayaan. Terbukti bahawa Amerika Syarikat telah menakluki Iraq tidak lama dulu.

– Ulama Tidak Dipedulikan

– Islam pada Nama Sahaja

– Al Quran Akan Hilang dan Ilmu Akan Diangkat

– Lima belas Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala

– Umat Islam Bermegah-megah Dengan Masjid

– Menggadaikan Agama Kerana Dunia
Dan untuk bacaan hadith-hadithnya sila baca di Hadith tentang peristiwa akhir zaman
.
Mukjizat terbesar

– Membelah bulan dua kali untuk membuktikan kenabiannya pada penduduk Mekah.

Bukhari meriwayatkan dari Ibnu mas’ud r.a. berkata, “Pada zaman Rasulullah s.a.w, bulan pernah terbelah menjadi dua. Sebelah berada di atas gunung dan satunya lagi di tempat lain, lalu baginda bersabda , “Saksikanlah”.
Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Anas r.a. bahawa penduduk Mekkah meminta kepada Rasulullah S.a.w untuk memperlihatkan tanda kerasulannya kepada mereka. Maka baginda S.a.w memperlihatkan bulan yang terbelah menjadi dua , sehingga mereka pun melihat jarak antara keduanya.
Dan beberapa hadith lagi …….

– Isra ke Masjidil Aqsa, Palestine dari Masjidil Haram, Mekkah lalu Mi’raj ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh dari Baitul Maqdis tidak sampai satu malam pada tanggal 27 Rajab tahun 11 Hijriah.

– Menerima Al-Qur’an sebagai Firman Tuhan terakhir padahal baginda seorang yang ‘ummi’ iaitu tidak tahu membaca dan menulis.

Penyembuhan penyakit

Setiap rasul dikurniakan mukjizat masing-masing bagi digunakan untuk menguatkan hujjah dan bukti bagi kebenaran yang diturunkan dari langit. Dan semua mukjizat itu adalah atas bantuan Allah S.w.t, bukannya kekuatan rasul itu sendiri. Ianya amat berbeza dengan sihir yang mana sihir menggunakan khidmat dari jin dan syaitan. Di sini saya tidak mahu menceritakan tentang sihir, tetapi hanya mahu menekan kan tentang antara mukjizat Nabi Muhammad S.a.w. Kali ini saya akan bentangkan tentang mukjizat yang berkaitan dengan penyembuhan penyakit.

Menyembuhkan kaki patah sehingga pulih seperti sedia kala

Bukhari meriwayatkan dari Al-Barra’ r.a bahawa setelah Abdullah bin Atik dapat membunuh Abu Rafi’, lalu turun dari tangga rumahnya , dia jatuh tersemban ke tanah sehingga betisnya patah. Beliau menceritakan hal ini kepada Rasulullah S.a.w. Baginda pun bersabda, “Luruskanlah kaki mu!” Maka beliau pun meluruskannya, lalu baginda mengusapnya . Selepas itu dia sudah tidak merasakan sakit lagi.

Menyembuhkan sakit mata hanya dengan ludahan

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad , bahawa Rasulullah S.a.w bersabda pada waktu perang Khaibar, “besok aku akan memberikan bendera ini kepada seseorang yang akan diberikan kemenangan oleh Allah di tangannya.” Keesokan harinya baginda bersabda, “Mana Ali bin Abi Thalib?”
“Kedua matanya sedang sakit,” jawab sahabat-sahabat.
Maka baginda pergi menemui Ali lalu meludah pada kedua mata Ali sambil berdoa, sehingga langsung sembuh dan dia tidak merasakan sakit apa-apa lagi.

Menyembuhkan penyakit luka dengan tiupan pada bahagian yang sakit

Bukhari juga meriwayatkan dari Yazid bin Abu Ubaid, dia berkata, “Aku melihat luka terhiris di betis Salamah bin Al Akwa”. Aku bertanya, “Luka apa ini ?”
“Aku terluka pada perang Khaibar, ” jawabnya.
Selanjutnya beliau pergi kepada Rasulullah S.a.w lalu baginda meniupkan luka itu 3 kali dan aku tidak merasakan sakit lagi.”

Mengembalikan penglihatan orang yang buta

An Nasa’i, Tirmidzi, Al Hakim dan Al Baihaqi meriwayatkan dari Usma bin Hanif r.a, bahawa ada seorang buta berkata, “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah untukku agar membuka penglihatanku.”
Baginda bersabda, “Pergilah berwudhu’ . Dirikan solat dua raka’at dan ucapkanlah, “Ya Allah, aku memohon kepadaMu, mengadap kepadaMu dengan lantaran nabiMu Muhammad, nabi pembawa kasih. Wahai Muhammad, aku mengadap kepada Tuhanmu dengan lantaranmu, agar dia membuka penglihatanku . Ya Allah, berilah syafaat beliau untuk kepentinganku.”
Belum lagi orang ramai berganjak dari tempat mereka dan orang tersebut pergi, maka dia sudah dapat melihat.

Mengembalikan mata yang terkeluar dan penglihatannya

Ibnu Saad meriwayatkan dari Zaid bin Aslam r.a, bahawa mata Qatadah bin An Nu’man terluka sehingga biji matanya terkeluar sampai ke pipi. Kemudian Rasulullah S.a.w mengembalikan hingga matanya menjadi sembuh kembali.
At Thabrani dan Abu Nu’aim meriwayatkan dari Qatadah , dia berkata, ” Pada waktu Perang Uhud, aku menjaga wajah Rasulullah dari serangan anak panah, yang akhirnya ada sebuah anak panah mengenai biji mataku. Aku mengambilnya dengan tangan dan berusaha mendatangi Rasulullah. Ketika baginda S.a.w melihat apa yang ada di telapak tangan ku, dua mata beliau berlinangan seraya bersabda, “Ya Allah , peliharalah mata Qatadah sebagaimana dia telah pelihara wajah nabinya dengan wajahnya (dari serangan anak panah). Jadikanlah kedua matanya yang lebih baik dan lebih elok serta tajam penglihatannya.” Akhirnya apa yang diharapkan rasul itu termakbul.

Menyembuhkan penyakit kanak-kanak yang tidak boleh berdiri
Abu Ya’la, Al Baihaqi meriwayatkan dari Usamah bin Zaid r.a, ia berkata, “Kami keluar bersama Rasulullah Sa.w. untuk menunaikan ibadah haji. Ketika sampai di rauha’, beliau melihat seorang perempuan di depannya. Setelah dekat perempuan itu berkata, “Wahai rasulullah, ini ialah anakku. Sejak lahir hingga saat ini, beliau tidak mampu berdiri sama sekali.” Baginda S.a.w pun mengambil anak itu, menggendongnya lalu meludah di mulut anak itu seraya bersabda, “Wahai musuh Allah, keluarlah! Sesungguhnya aku Rasulullah!” Setelah itu baginda menyerahkan kembali anak itu seraya bersabda, “Ambillah anakmu , dia sudah tiada apa-apa”.

Menyembuhkan penyakit bisu
Ahmad, Ibnu Abi Syaibah, Al Baihaqi, At Thabrani dan Abu Nuaim meriwayatkan dari jalan Sulaiman bin Amru bin Al Ash, dan ibunya dia berkata, “Aku pernah melihat Rasulullah S.a.w pada waktu Jamrah Al Aqabah. Beliau melempar batu dan orang-orang pun melakukannya. Setelah selesai baginda kembali, tiba-tiba ada seorang perempuan sambil membawa anaknya yang bisu datang kepada baginda seraya berkata, “Wahai Rasulullah, ini anakku yang sedang mendapat bala. Dia tidak boleh berbicara.”
Baginda S.a.w meminta sebuah bejana yang diperbuat dari batu yang di dalamnya diisikan air. Setelah itu baginda memegangnya, meludahinya dan berdoa. Mengulanginya sekali lagi dan menyuruh agar meminumnya kepada anak perempuan itu. Akhirnya anak itu sembuh, malah menjadi lebih baik daripada yang lainnya.

Mengubati penyakit gila
Ahmad , Ad Darami, At Thabrani, Al Baihaqi, Abu Nu’aim meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa ada seorang perempuan datang menemui Rasulullah S.a.w sambil membawa anaknya seraya berkata, “Wahai Rasulullah, ini adalah anakku yang sedang menderita gila. Dia suka mengambil makanan yang harus kita makan di siang hari dan di malam hari. Dia juga suka mengamuk.”
Baginda S.a.w pun mengusap dada anak itu, menyemburkan ludah sambil berdoa. Dari dalam perut budak itu keluar sesuatu yang kecil menyerupai ulat hitam. Akhirnya budak itu pun sembuh.

Beberapa penyembuhan lain yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.a.w
– Menyembuhkan luka gigitan ular yang diderita Abu Bakar dengan ludahnya ketika bersembunyi di Gua Tsur dari pengejaran penduduk Mekah.
– Menyembuhkan tangan wanita yang lumpuh dengan tongkatnya.
– Menyambung tangan Badwi yang putus yang dipotongnya sendiri setelah menampar Muhammad.
– Dan sebagainya …….
Keberkatan makanan dan minuman
Peristiwa Khandaq, keajaiban di rumah Jabir bin Abdullah r.a

Bukhari dan Muslim serta lain-lainnya meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a tentang kisah penggalian Khandaq. Dia berkata, “Aku melihat rasa lapar yang sangat pada diri Nabi S.a.w. Aku segera mengeluarkan kuali yang di dalamnya ada satu takar gandum dan kami punya juga seekor haiwan kecil sebangsa anak kambing kacung.”
Dalam riwayat lain, dari Jabir disebutkan bahawa beliau berkata, “Sebelum Perang Khandaq kami menggali parit. Dalam penggalian itu kami terhalang oleh batu yang sangat keras. Mereka datang menemui rasul dan berkata, “ini adalah batu yang sangat keras yang menghalangi penggalian.”
“Aku akan segera turun,” sabda baginda S.a.w. Dalam keadaan berdiri baginda menganjalkan perutnya dengan batu. Selama 3 hari kami tidak akan merasai apa-apa. Lalu tanah yang keras itu dipukul oleh nabi yang kemudian hancur berkeping-keping. Sesudah itu aku berkata kepada Rasulullah S.a.w, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku pulang ke rumah.”Baginda pun mengizinkan aku pulang. Sampainya di rumah aku berkata kepada isteriku, “Aku melihat sesuatu pada diri nabi, yang bila saja aku melihatnya tentu aku tidak akan sabar. Apakah kamu mempunyai sesuatu?
“Aku punya gandum dan anak kambing betina,” jawab isteriku. Anak kambing itu langsung aku sembelih dan gandumnya ku masak. Dagingnya ku letakkan dalam periuk lalu aku menemui Rasulullah S.a.w. Isteriku berkata, “Janganlah kau membuatkan aku malu di hadapan Rasulullah dan orang-orang yang bersamanya kerana makanan yang dibawa hanya sedikit”.
Setelah bertemu aku berbisik pada rasul, Wahai Rasulullah S.a.w kami telah menyembelih haiwan kami dan memasak satu takar gandum kami. Kemarilah engkau bersama satu orang bersamamu, asal jangan lebih dari sepuluh orang.”
Dalam riwayat lain disebutkan, “Kami mempunyai sedikit makanan yang telah kami buat. Kemarilah engkau wahai Rasulullah bersama seorang atau dua orang sahaja.”
Sabda baginda S.a.w, “Katakanlah kepada isterimu agar periuknya jangan diangkat dulu dari tungku begitu adunan rotinya sampai aku datang. ” Sesudah itu baginda melaungkan, “Wahai semua penggali parit, sesungguhnya Jabir telah membuat makanan. Marilah semuanya segera ke mari!”
Setelah aku bertemu isteriku aku berkata kepadanya, Sungguh teruklah kamu, nabi datang bersama semua orang Ansar dan Muhajirin.”
“Apakah baginda bertanya berapa banyak makananmu?” tanya isteriku.
“Ya”, jawabku.
“Allah dan rasul lebih mengetahui. Kita membuat roti apa yang ada pada kita sahaja.”
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Jabir berkata, “Aku pulang ke rumah. Rasulullah S.a.w pula datang bersama semua orang. Isteriku mengeluarkan adunan roti, lalu baginda meludahi adunan itu lalu memberkatinya. Kemudian rasulullah S.a.w menuju ke periuk kami, meludahinya dan berdoa agar diberkati. Sesudah itu, baginda bersabda kepada Jabir, “panggillah tukang pembuat roti agar dia membuatnya bersama isterimu.”
Baginda S.a.w juga bersabda kepada isteriku, “Ceduklah isi periuk ini, tetapi periuknya jangan engkau turunkan.”
Mereka datang bersama Rasulullah S.a.w seramai kira-kira seribu orang, didudukkan sepuluh-sepuluh, lalu mereka semuanya makan. Aku bersumpah demi Allah, mereka semua dapat makan. Aku bersumpah demi Allah, mereka semua dapat makan. Sampai akhirnya mereka meninggalkan makanan, maka periuk kami dan adunan roti kami masih seperti mula-mula tadi. Baginda S.a.w bersabda, “Makanlah dan hadiahkanlah.” Sehingga pada hari itu kami dapat memakannya dan memberikannya kepada jiran tetangga. Dan dalam riwayat lain disebutkan “Kami dapat makan dan memberikannya kepada tetangga. Dan setelah Rasulullah S.a.w keluar, maka makanan itu pun habis pula.” Di ambil dari hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Dan peristiwa seakan-akan sama seperti di atas juga telah berlaku di rumah Thalhah r.a kemudiannya.

Bubur yang berkat

At Thabari meriwayatkan dalam Al Ausath dengan sanad yang Hasan, dari Abu Hurairah r.a ia berkata, “Rasulullah S.a.w memanggilku seraya bersabda, “Pergilah ke rumah dan katakan kepada seisi rumah, “kemarikan makanan yang ada padamu”. Lalu mereka memberiku talam yang berisi bubur bercampur kurma, lalu ku bawakan kepada Rasulullah S.a.w. Sesudah itu baginda bersabda lagi, panggillah semua orang yang ada di masjid.” Aku berkata dalam hati, “celakalah aku kerana ku lihat makanan ini terlalu sedikit. Benar-benar celakalah aku kerana bermaksiat dengan memanggil mereka, lalu mereka semua akan berkumpul.”
Nabi S.a.w meletakkan jari-jemarinya di atas makanan itu , meludahi setiap bahagiannya seraya bersabda, “Makanlah dengan nama Allah! ” Maka mereka pun makan sampai kenyang dan aku juga ikut makan hingga kenyang. Sesudah itu aku mengangkatnya. Ternyata keadaannya seperti keadaan asal. Hanya sahaja di sana ada bekas jari-jari rasulullah S.a.w.

Keberkatan dalam susu kambing

Abu Ya’la, At Thabrani, Hakim meriwayatkan dari Qais bin Abi Nu’man r.a berkata, “Ketika Rasulullah S.a.w dan Abu Bakar pergi secara diam-diam, mereka melewati seorang budak yang sedang mengembala kambing. Rasul dan Abu Bakar meminta agar diberi susu perahan.”
“Aku tidak mempunyai seekor kambing pun yang dapat diperah. Bahkan ada seekor anak kambing yang sudah tidak mendapatkan air susu lagi sejak awal pada musim kemarau ini, ” kata budak itu. Rasulullah bersabda, “Panggillah dombamu itu.” Lalu memegang kantung kelenjar susunya dan berdoa. Abu Bakar datang sambil membawa bejana. Rasul memerah susu, lalu diberikan kepada Abu Bakar, memerah lagi lalu diberikan kepada pengembala, lalu diperah lagi untuk meminumnya. Sang pengembala bertanya kehairanan, “Siapakah engkau ini? Demi Allah, aku belum pernah melihat orang sepertimu.”
“Aku adalah Muhammad, Rasulullah,” jawab baginda S.a.w.
“Engkaukah yang dianggap Quraisy telah menimpakan mala petaka?”
“Memang itu lah yang mereka katakan”
“Aku bersaksi bahawa engkau adalah seorang nabi. Apa yang engkau bawa adalah benar. Tidak ada yang dapat berbuat seperti yang engkau perbuat kecuali adalah seorang nabi.”

Perigi yang kering kembali berair

Muslim meriwayatkan dari Salamah bin Al Aqwa’, ia berkata, “Kami yang berjumlah seribu empat ratus orang tiba di Hudaibiyyah bersama nabi S.a.w. Kami semua dan empat puluh ekor kambing yang dibawa tidak mendapatkan air. Selanjutnya nabi S.a.w berjongkok di bibir bekas sebuah perigi. Entah baginda berdoa atau meludah ke sana, namun yang jelas tiba-tiba memancar air yang sangat deras. Akhirnya kami dapat minum sepuas-puasnya, begitu juga dengan kambing-kambing kami.”

Dan banyak lagi mukjizat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t ke atas Nabi Terakhir yang membawa Perjanjian Terakhir ini.
(Rujukan: http://unikversiti.blogspot.com/)